top of page

ICT

 

Inisiatif ICT

 

          Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa memberi penekanan kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenal pasti sebagi satu faktor penting bagi membantu pencapaian matlamat pendidikan. Kepesatan kemajuan ICT menjadi cabaran kepada negara untuk menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran abad ke-21.

Bagi menerajui usaha ini, KPM perlu menyediakan keperluan fizikal dan bukan fizikal untuk membolehkan penggunaan ICT sebagai alat pengupaya (enabling tool) pada semua peringkat organisasi pendidikan. Penggunaan ICT yang optimum berpotensi membawa perubahan dan pembaharuan kepada sistem pendidikan ke arah memartabatkan pendidikan negara bertaraf dunia.

          Tiga dasar utama ICT dalam pendidikan telah digariskan oleh KPM iaitu literasi ICT untuk semua murid, mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat PDP, dan menekankan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan organisasi pendidikan.

 

 

1BestariNet

 

              Memperkasakan generasi masa depan menerusi internet berkelajuan tinggi 1BestariNet adalah projek inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications. Dalam projek ini, 10,000 sekolah di seluruh Malaysia akan dilengkapi akses Internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia. Visi 1BestariNet adalah mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteras Internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia. Inisiatif kerajaan ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi akses Internet mudah alih 4G dan VLE sedia ada di semua sekolah seluruh Malaysia.

 

 

 

PENYELESAIAN BERSEPADU

 

             Di bawah 1BestariNet, sekolah-sekolah akan dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran dijalankan di Internet menerusi Virtual Learning Environment (Frog VLE), yang boleh diakses di sekolah atau dimana-mana sahaja yang mempunyai capaian Internet.

 

 

 

Bagaimana komponen penyelesaian pendidikan ini dijalankan secara bersepadu?

 

             Sekolah-sekolah akan dilengkapi capaian Internet, membolehkan akses ke VLE yang bertaraf dunia. Ini merupakan sumbangan progresif ke arah pendidikan berteras teknologi Internet untuk pengajaran dan pembelajaran berkesan serta memudahkan pengurusan pentadbiran sekolah.Kandungan Internet juga ditapis secara terus di sekolah bagi menggalakkan persekitaran pembelajaran selamat, di mana akses murid ke laman web berunsur negatif akan disekat. Hanya laman web ilmiah yang disahkan oleh KPM akan disenarai putih dan dibenarkan melepasi tapisan kandungan.

 

             Frog VLE adalah platform berteras cloud yang fleksibel dan boleh diakses dimana-mana jua dari luar kawasan sekolah. Fail dan data yang disimpan di cloud boleh diakses dimana-mana sahaja dan bila-bila masa dengan capaian Internet. Malah, pengguna diberi akses percuma ke VLE setiap kali log masuk dari rangkaian Yes dengan ID log masuk VLE. Samada menggunakan rangkaian Yes atau Yes Hotspot tiada caj yang dikenakan bagi penggunaan VLE.

 

 

KERJASAMA TEKNOLOGI

 

Penyelesaian pendidikan bersepadu generasi baru akan dilaksanakan oleh kepakaran YTL Communications Sdn Bhd, selaku rakan teknologi rasmi KPM untuk projek 1BestariNet.YTL Communications Sdn Bhd adalah subsidiari syarikat utiliti, YTL Power International Berhad dan beroperasi sebagai penggerak telekomunikasi dalam YTL Corporation Berhad Group. YTL Communications bertekad menyediakan perkhidmatan berpatutan bertaraf dunia untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat di seluruh Malaysia menerusi rangkaian Internet mudah alih 4G yang sedang dibangunkan.

Meningkatkan taraf kehidupan masyarakat

Telekomunikasi amat penting dalam pembangunan masyarakat dan negara di seluruh dunia. Sebagai masyarakat korporat yang bertanggungjawab, YTL Communications komited untuk:

 

  1. Merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

  2. Meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

  3. Menyokong inisiatif mempromosikan inovasi berteras teknologi.

  4. Membentuk pemimpin masa depan berkualiti dengan sokongan pendidikan dan pembelajaran yang mantap.

  5. Meningkatkan cara penyampaian pendidikan menerusi penyelesaian pembelajaran Internet bersepadu.

 

 

Pasukan Konfigurasi Rangkaian (PaKaR)

 

LATAR BELAKANG

 

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perak (BTPN Perak) telah mewujudkan PaKaR pada tahun 2006. Pasukan bantuan teknikal ini bertanggungjawab dalam kerja-kerja konfigurasi komputer pelayan (server) dan komputer klien (guru dan murid) di semua sekolah yang mempunyai Makmal Komputer. Skop kerja PaKaR ialah menyelenggara konfigurasi rangkaian setempat (LAN).

BTPN Perak telah memberi latihan kepada semua Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru (PKG) pada 2006 hingga 2007. Satu pasukan khas ditubuhkan untuk menghasilkan Modul Konfigurasi Rangkaian Makmal Komputer dan Pusat Akses Sekolah - Windows 2000. Modul ini telah diterbitkan pada tahun 2008 dan diedar ke semua PKG dan sekolah yang mempunyai Makmal Komputer.

Peranan PaKaR kini diperluaskan dengan memberi khidmat bantu menaik taraf rangkaian setempat sekolah-sekolah yang memerlukan dan inisiatif ICT KPM. Selain itu PaKaR juga memberi khidmat bantu aras pertama untuk melancarkan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer di sekolah.

 

TUJUAN

 

Garis panduan ini dikeluarkan bertujuan memberi tatacara yang standard kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk melaksanakan Program Khidmat Bantu Pasukan Konfigurasi Rangkaian (PaKaR) di sekolah-sekolah.

 

PENUBUHAN PaKaR

 

1. Setiap daerah hendaklah mewujudkan PaKar.

2. PaKaR terdiri daripada Pegawai Teknologi Pendidikan, Juruteknik Komputer PKG dan Juruteknik Komputer Sekolah.

3. Ketua PaKaR Daerah perlu mewujudkan hubungan baik dengan Pejabat Pelajaran Daerah dalam hal berkaitan Juruteknik Komputer Sekolah.

4. Mesyuarat PaKaR di peringkat daerah perlu diadakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

5. PKG boleh mewujudkan PaKaR. Walau bagaimanapun semua aktiviti di peringkat PKG hendaklah diselaraskan dengan PaKaR di peringkat daerah.

6. PKG boleh melaksanakan aktiviti khidmat bantu teknologi maklumat dan komunikasi di peringkat PKG tanpa melibatkan PaKaR.

 

SKOP KHIDMAT BANTU PaKaR

 

1. Membuat konfigurasi rangkaian kawasan setempat (LAN).

2. Pemantauan status aduan Support Ticketing System (STS) sekolah.

3. Memberi cadangan dan nasihat kepada pihak sekolah tentang penggunaan, penjagaan dan keselamatan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi.

4. Melaksana kerja-kerja menaik taraf rangkaian kawasan setempat tanpa melibatkan kos bahan dan alat ganti yang perlu ditanggung oleh pihak BTP dan BTPN Perak.

5. Melaksanakan penyelenggaraan pencegahan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi peralatan teknologi maklumat dan komunikasi milik kerajaan sahaja.

6. Memberikan perkhidmatan yang tidak termasuk skop kerja penyelenggaraan oleh syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

7. Melaksanakan tugas yang diarah dari semasa ke semasa oleh Ketua Penolong Pengarah, BTPN Perak.

 

PROSES SEBELUM

 

1. Mengenal pasti sekolah yang hendak dibantu berdasarkan masalah dihadapi, kemampuan menyelesaikan dan keutamaan.

2. Memastikan status aduan STS sekolah.

3. Membina jadual khidmat bantu dan memaklumkan kepada UPICT, pihak sekolah dan PPD.

4. Menghantar surat makluman kepada Pengetua/Guru Besar untuk membuat khidmat bantu ke sekolah (dalam tempoh 30 hari sebelum pelaksanaan).

5. Memastikan Juruteknik Sekolah mendapatkan arahan daripada Pegawai Pelajaran Daerah untuk melaksanakan program khidmat bantu.

6. Mendapatkan arahan daripada Ketua Penolong Pengarah BTPN Perak untuk melaksanakan program khidmat bantu.

 

PROSES SEMASA

 

1. Melaksana program khidmat bantu di dalam skop Khidmat Bantu PaKaR sahaja.

2. Memberi cadangan dan nasihat kepada pihak sekolah tentang penggunaan, penjagaan dan keselamatan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi.

3. Memastikan pihak sekolah mengemaskini status aduan Support Ticketing System (STS). Kerosakan peralatan komputer hendaklah dilaporkan dengan lengkap manakala aduan kerosakan bagi peralatan yang telah diselenggara hendaklah ditutup.

4. Mendapatkan maklum balas daripada pihak sekolah menggunakan Borang Maklum Balas.

 

PROSES SELEPAS

 

1. Menyediakan laporan program khidmat bantu dalam tempoh 14 hari dari tempoh pelaksanaan. Salinan laporan hendaklah dihantar kepada pihak sekolah dan UPICT, BTPN Perak.

2. Menghubungi semula pihak sekolah dalam tempoh 30 hari hingga 60 hari selepas khidmat bantu diberi untuk mendapatkan status terkini. Sekiranya terdapat masalah yang sama, program khidmat bantu kedua hendaklah dilaksanakan dalam tempoh 14 hari dari tempoh maklumat diterima.

3. Laporan kerosakan peralatan komputer hendaklah dibuat oleh pihak sekolah melalui Support Ticketing System (STS).

countdown ramadhan

Hyperlink :

bottom of page